Penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi (Information and Communications Technology atau ICT) dalam
pengajaran dan pembelajaran (PdP) prasekolah merupakan salah satu cara untuk
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran prasekolah. Kanak-kanak
hari ini adalah generasi komputer (Papert, 1996). Teknologi boleh memainkan
peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak (Haugland
& Wright, 1997). ICT menawarkan pendekatan baru untuk belajar dan
penguasaan kemahiran baru. Oleh itu kanak-kanak perlulah didedahkan kepada ICT
dengan cara yang bermakna. Jika ICT
tidak sepenuhnya diintegrasikan ke dalam kurikulum secara keseluruhan, ia boleh
meninggalkan kesan negatif ke atas kreativiti kanak-kanak (Haugland, 1992).
Menyedari hakikat ini, pada tahun
2002 program ICT (KPM, 2003) prasekolah diberikan keutamaan dan dijadikan
sebahagian elemen penting di mana ia bukan sahaja telah diambil kira sebagai
salah satu komponen dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan(KSPK) malah
pendekatan pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT juga diutamakan. Guru
prasekolah digalakkan menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
merentas kurikulum. Pendekatan ICT digunakan untuk membantu proses pengajaran
dan pembelajaran, memperolehi maklumat, berinteraksi dengan bahan untuk belajar
sendiri dan bersama rakan sebaya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran.
Bagi menjayakan rancangan ini, Kementerian Pelajaran telah membekalkan kelas
prasekolah dengan sistem komputer dan perisian untuk digunakan oleh
pelajar-pelajar prasekolah (Lim Keat Heng, 2007).
Penggunaan ICT telah menjadi
agenda penting dalam sistem pendidikan masa kini. Penggunaan ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran kini telah diiktiraf sebagai salah satu pendekatan pengajaran
dan pembelajaran dalam kelas prasekolah di samping lain-lain pendekatan pengajaran
dan pembelajaran prasekolah. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,
yang juga Menteri Pelajaran, berkata kurikulum baru yang digubal menggabungkan
elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam proses pengajaran dan
pembelajaran, membabitkan semua mata pelajaran, adalah sebahagian agenda
kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Tan Sri Muhyiddin
berkata usaha untuk menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi
dalam sistem pendidikan negara tidak akan sempurna tanpa dimasukkan peranan
ICT. Beliau berkata penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran
telah membolehkan pembelajaran interaktif, yang lebih berkesan dan merangsang
minda. (Kosmo Online, April 14, 2010).
Dalam Kurikulum Prasekolah
Kebangsaan (KSPK) pengunaan ICT adalah termasuk dalam tunjang kurikulum sains
dan teknologi (ST)-Mawal sains dan awal matematk. Pada peringkat Prasekolah
hanya kemahiran peringkat asas sahaja yang diajar kepada kanak-kanak
prasekolah. Seperti memperkenalkan bahagian-bahagian komputer, bagaimana cara
untuk membuka dan menutup komputer serta bagaimana cara untuk menggunakan komponen
yang terdapat pada komputer seperti tetikus. Kementerian Pelajaran Malaysia
amat memberi perhatian terhadap ICT dikalangan kanak-kanak prasekolah. Ini
adalah sebagai langkah awal untuk melahirkan generasi yang celik ICT. Guru
prasekolah adalah insan yang memainkan peranan yang penting dalam
merealisasikan impian Kementerian Pelajaran Malaysia ini.Sebagai kesimpulannya
pihak guru dan ibubapa harus memainkan peranan secara bersama untuk memberi
pendedahan kepada kanak-kanak terhadap ICT. Pemantauan dar pihak guru dan
ibubapa adalah penting untuk memastikan kanak-kanak hanya melayari ICT yang
berfaedah sahaja.
No comments:
Post a Comment