Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia


Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communications Technology atau ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) prasekolah merupakan salah satu cara untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran prasekolah. Kanak-kanak hari ini adalah generasi komputer (Papert, 1996). Teknologi boleh memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak (Haugland & Wright, 1997). ICT menawarkan pendekatan baru untuk belajar dan penguasaan kemahiran baru. Oleh itu kanak-kanak perlulah didedahkan kepada ICT dengan cara yang bermakna.  Jika ICT tidak sepenuhnya diintegrasikan ke dalam kurikulum secara keseluruhan, ia boleh meninggalkan kesan negatif ke atas kreativiti kanak-kanak (Haugland, 1992).

Menyedari hakikat ini, pada tahun 2002 program ICT (KPM, 2003) prasekolah diberikan keutamaan dan dijadikan sebahagian elemen penting di mana ia bukan sahaja telah diambil kira sebagai salah satu komponen dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan(KSPK) malah pendekatan pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT juga diutamakan. Guru prasekolah digalakkan menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran merentas kurikulum. Pendekatan ICT digunakan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran, memperolehi maklumat, berinteraksi dengan bahan untuk belajar sendiri dan bersama rakan sebaya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran. Bagi menjayakan rancangan ini, Kementerian Pelajaran telah membekalkan kelas prasekolah dengan sistem komputer dan perisian untuk digunakan oleh pelajar-pelajar prasekolah (Lim Keat Heng, 2007).

Penggunaan ICT telah menjadi agenda penting dalam sistem pendidikan masa kini. Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran kini telah diiktiraf sebagai salah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas prasekolah di samping lain-lain pendekatan pengajaran dan pembelajaran prasekolah. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kurikulum baru yang digubal menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam proses pengajaran dan pembelajaran, membabitkan semua mata pelajaran, adalah sebahagian agenda kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Tan Sri Muhyiddin berkata usaha untuk menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan negara tidak akan sempurna tanpa dimasukkan peranan ICT. Beliau berkata penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah membolehkan pembelajaran interaktif, yang lebih berkesan dan merangsang minda. (Kosmo Online, April 14, 2010).


Dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KSPK) pengunaan ICT adalah termasuk dalam tunjang kurikulum sains dan teknologi (ST)-Mawal sains dan awal matematk. Pada peringkat Prasekolah hanya kemahiran peringkat asas sahaja yang diajar kepada kanak-kanak prasekolah. Seperti memperkenalkan bahagian-bahagian komputer, bagaimana cara untuk membuka dan menutup komputer serta bagaimana cara untuk menggunakan komponen yang terdapat pada komputer seperti tetikus. Kementerian Pelajaran Malaysia amat memberi perhatian terhadap ICT dikalangan kanak-kanak prasekolah. Ini adalah sebagai langkah awal untuk melahirkan generasi yang celik ICT. Guru prasekolah adalah insan yang memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan impian Kementerian Pelajaran Malaysia ini.Sebagai kesimpulannya pihak guru dan ibubapa harus memainkan peranan secara bersama untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak terhadap ICT. Pemantauan dar pihak guru dan ibubapa adalah penting untuk memastikan kanak-kanak hanya melayari ICT yang berfaedah sahaja. 

No comments:

Post a Comment